NBD, New Zealand kukuhkan jalinan berkekalan dalam perdagangan, pertahanan





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman






GYEONGJU, REPUBLIK KOREA, Jumaat, 31 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri New Zealand, The Right Honourable Christopher Luxon yang berlangsung di Gyeongju Hwabaek International Convention Center (HICO), hari ini.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Dalam Majlis Perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengetengahkan hubungan berkekalan dalam bidang perdagangan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat yang terus dinikmati oleh kedua-dua buah negara. New Zealand adalah rakan lama serta rakan dagang yang penting bagi Negara Brunei Darussalam (NBD).


Sehubungan itu, baginda mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan juga hasrat New Zealand untuk bekerjasama dalam keselamatan makanan dan makanan halal.


Selain itu, baginda menekankan hubungan antara rakyat sebagai aspek penting kerjasama dua hala, yang mendekatkan rakyat kedua-dua buah negara. Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjemput Perdana Menteri New Zealand untuk mengadakan lawatan ke NBD pada tarikh yang sesuai.


Hubungan dua hala antara NBD dan New Zealand telah ditubuhkan pada 5 Mei 1984. Kedua-dua buah negara menikmati hubungan akrab dan mesra, yang dibina berdasarkan hubungan diplomatik dan dikukuhkan lagi melalui keahlian bersama dalam forum-forum utama serantau dan antarabangsa. Kerjasama antara kedua-dua negara termasuk pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan serta hubungan budaya dan antara rakyat.


Close